"Rakyat Malaysia Xenofobia?"


Tarikh: 9 November 2015
Masa: Sekitar 0840
Lokasi: Kedai Roti Jala tak bernama (sebelah Man Roti Jala) Stadium Darul Aman
Sedang aku dan maksu enak menyuap roti jala ke mulut, kedengaran pakcik roti jala meninggikan suara kepada dua orang pelanggan lelaki. Dari rupa luaran berkulit gelap berjambang, mereka tak kelihatan seperti orang tempatan, dan masih terpinga-pinga untuk memesan makanan.
“Payah depa ni, cakap melayu tak boleh, cakap English tak boleh, cakap Thai pun tidak. HOW MANY? ONE? TWO?” herdik si tukang roti.
Muncul seorang wanita berbangsa India berusia lingkungan empat puluhan di situ yang kebetulan ingin memesan makanan.
“Ni auntie, you tolong habaq sat kat you punya company ni dia nak makan apa, depa boleh cakap india kot” kata tukang masak itu lagi, deras menarik perhatian semua.
Lelaki berdua itu tadi pun akhirnya memesan dua roti canai dan dua cawan milo dengan Bahasa Inggeris yang terhad. Aku dan maksu saling memandang pakcik tukang roti yang berkopiah itu dengan penuh bengang, dua lelaki asing itu duduk di meja di belakang kami.
Aku mencuri dengar perbualan mereka, dari pengamatanku lenggok bahasa yang dipertuturkan mereka kedengaran seperti bahasa Arab.
Aku pun memberanikan diri bertanya “Where are you from brother?”.
Mereka membalas dengan reaksi muka yang membingung.
“Which country brother?” tanyaku lagi.
“Ohhh, Saudi Arabia” kata salah seorang lelaki yang berjambang itu.
“I see, tafadhal ya akhi” balasku, tahulah sikit sikit dari pengalaman bercampur dengan pelajar Arab di Newcastle.
Aku lalu berpaling kepada pakcik tukang roti berkopiah itu tadi melaung “ Ni pakcik, depa ni cakap Arab pakcik, depa bukan India”. Pakcik itu membalas sesuatu sambil berpaling ke arah lain, aku tak dengar butir perkataannya.
Kami pun berlalu dari kedai itu dalam keadaan marah bercampur terkejut. Beginikah tatasusila orang kita?. Adakah patut dilayan dengan sebegitu hina seolah mereka mengemis makanan percuma? Kalaulah seorang lelaki berkulit putih yang menjadi pelanggan tadi, adakah reaksi pakcik itu sama?.
P/S: Pengajarannya? Anda fikirkan sendiri, bayangkan andai anda diherdik di Saudi kerana tak fasih berbahasa Arab sewaktu menunaikan umrah/haji. Melayu itu Islam?. Entah, aku tak tahu, aku cuma berharap aku tak perlu melihat peristiwa sebegini di negara sendiri lagi.
0 Responses

Post a Comment

abcs