“PELUANG KERJA PETIK BUAH DI AUSTRALIA, PENDAPATAN SEKITAR 30-40RIBU SETAHUN”


Saya pasti mungkin ada di antara kita pernah terbaca iklan sebegini di media sosial dan mungkin ada sesetengah dari kita yang pernah mempertimbang untuk merubah nasib mencari rezeki yang lebih lantaran desakan hidup yang semakin menjerut. Apatah lagi, ini lebih lagi disokong oleh pimpinan negara yang menggalakkan sesiapa yang tidak sukakan negara ini untuk keluar berhijrah. Saya sendiri terpanggil untuk mengesahkan apakah tawaran ini benar atau sekadar perangkap untuk menindas mereka yang sedia kesusahan.
Rata-rata orang tengah atau ejen ini mengkehendaki bayaran lebih kurang lima ribu ringgit sebagai bayaran bagi membolehkan individu itu memperoleh peluang pekerjaan seperti yang dinyatakan. Biasanya bayaran ini termasuk tambang udara , visa dan penginapan sementara mendapat pekerjaan. TETAPI apa yang saya mahu tekankan di sini adalah orang tengah ini tidak memberi tahu bahawa visa yang diberi adalah VISA PELANCONG Subclass 600 yang mana pemegang visa ini TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI UNTUK BEKERJA. Berbeza halnya dengan visa pelajar di mana pemegangnya dibenarkan untuk bekerja maksimum 40 jam setiap dua minggu.

Mari saya ceritakan mengapa menyalahgunakan visa pelancong untuk bekerja tidak baik untuk anda dan orang lain.
-          PIHAK IMIGRESEN AUSTRALIA LEBIH BERJAGA-JAGA DENGAN PASSPORT MALAYSIA. Berlaku kepada kenalan saya di university, apabila suami dan anak kecil beliau berusia 4 tahun tidak dibenarkan masuk ke Australia setelah tiba dan dihantar pulang dengan penerbangan yang berikutnya kerana dikhuatiri akan tinggal lebih masa. Tidak mustahil pada masa akan datang pihak imigresen akan lebih tegas dalam pemberian visa pelancong atau lain-lainya. Sekiranya didapati bersalah anda tidak akan dibenarkan masuk ke Australia untuk tempoh beberapa tahun.

-          KEMUNGKINAN DITIPU OLEH MAJIKAN. Pengalaman sendiri bekerja di ladang jagung semasa cuti musim panas dan bergaul dengan backpackers lain menyedarkan saya bahawa terdapat banyak ladang-ladang yang menggaji pekerja yang sah atau tidak sah dengan bayaran kurang dari gaji minima yang ditetapkan kerajaan Australia iaitu AUD21 sejam (sebelum cukai) bagi kerja perladangan. Sebaliknya terdapat ladang-ladang yang menawarkan AUD10-13 sejam yang jauh lebih rendah. Lebih malang lagi, ada juga kes di mana majikan tidak membayar gaji pekerja yang tidak sah ini dan mereka diugut untuk dilaporkan kepada imigresen.

-          ANDA TIDAK DAPAT DILINDUNGI OLEH UNDANG-UNDANG. Biar saya tegaskan bahawa Australia adalah negara yang kuat dari perlaksanaan undang-undangnya. Sekiranya anda datang secara sah dan diperlakukan dengan tidak adil oleh majikan, anda berhak untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pekerjaan yang dipanggil Fairwork Ombudsman. Mereka ini akan mengusahakan tuntutan gaji anda dan sekiranya terdapat sebarang kecederaan semasa bekerja anda berhak menuntut dari pihak majikan dan insurans.

Jadi apa alternatifnya?

Saya mencadangkan sekiranya anda berhasrat untuk mencari rezeki di Australia anda bolehlah memohon Working Holiday Visa subclass 462 (https://www.border.gov.au/Trav/Visa-1/462-) yang melayakkan anda untuk tinggal selama setahun, keluar masuk tanpa had dalam tempoh ini, dan bekerja. Walaupun visa ini terhad dan lebih mahal, namun pada saya ia lebih selamat untuk anda, dan anda boleh menguruskannya sendiri tanpa memerlukan agen atau orang tengah. Sebagaimana kita tidak suka pendatang asing tinggal di negara kita secara tidak sah, kita tidak harus melakukan hal yang sama di negara lain. Apa-apa pun pilihan di tangan anda. 
1 Response
  1. Kerja Australia Official Says:

    Untuk rakyat Malaysia yang serious untuk kerja di australia shj.
    Sila hubungi kami seperti berikut:
    Website:https://petikanggurstrawberry.blogspot.com/
    Facebook page: https://www.facebook.com/KerjaDiAustralia.SyarikatArRazq/
    Instagram:https://www.instagram.com/kerjadiaustralia.genuine/?hl=en
    Twitter:https://twitter.com/kerja_australia
    Youtube:https://www.youtube.com/c/kerjaaustralia

Post a Comment

abcs